" Bersama Kembalikan Hak & Maruah Dengan Bijaksana"

Forum Pengguna 2012- Apa itu GLC ?? BAHAGIAN 2



GLC PERLU UTAMAKAN KEPENTINGAN RAKYAT

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru syarikat milik kerajaan (GLC) menilai semula tahap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing sejajar dengan peranan mereka dalam membantu membangunkan ekonomi bumiputera negara ini.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, langkah itu penting kerana peranan GLC dilihat semakin tersasar apabila lebih menumpukan kepada aspek keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan agenda utama mereka dalam memenuhi hati rakyat.
“Mandat utama GLC meliputi pembangunan modal insan dan masyarakat bumiputera. Malangnya, ketika ini ada antaranya yang gagal memenuhi peranan itu dan sekali gus membunuh hasrat kerajaan untuk melahirkan bumiputera yang lebih mahir dan berdaya saing.
“Oleh itu, kita menyeru kerajaan dan juga peneraju GLC segera menilai semula KPI mereka bagi memastikan tahap perkhidmatan dan kualiti yang lebih tinggi untuk pelanggan terutama usahawan bumiputera baharu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membincangkan tajuk ‘Gagalkah GLC dan agensi pelaksana membantu memajukan ekonomi bumiputera?’ dalam Forum Pengguna 2012 ‘Masalah tak pernah selesai, pengguna merana’ di sini semalam.
Ahli panel termasuk Pengerusi Lembaga Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak serta Pensyarah Ekonomi dan Kewangan Universiti Multimedia, Abdul Halim Abdul Hamid.
Tambah Nadzim, bagi memastikan kejayaan KPI baharu itu, GLC turut digalakkan untuk menyediakan latihan dan bimbingan kepada usahawan bumiputera sehingga berjaya.
“Mereka memerlukan bimbingan serta panduan dalam membentuk hala tuju perniagaan masing-masing. Saya berharap GLC bersama-sama memantau perkembangannya sebagai salah satu cara meningkatkan tahap KPI syarikat masing-masing," kata beliau.
Jelasnya, sehingga kini PPIM menerima lebih 100 aduan daripada pengguna berhubung kelemahan pentadbiran GLC terutamanya kerenah birokrasi.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

About

Blogroll