" Bersama Kembalikan Hak & Maruah Dengan Bijaksana"

Forum Pengguna 2012- Apa itu GLC ?? BAHAGIAN 1



PPIM seru GLC nilai semula kriteria KPI

13 Oktober 2012
KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyarankan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menilai semula kriteria Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka supaya dapat memainkan peranan secara efektif dalam usaha membantu rakyat meningkatkan taraf ekonomi.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata GLC tidak digalakkan hanya menekankan aspek keuntungan semata-mata sebagai kayu pengukur KPI mereka, sebaliknya agenda utama yang perlu diberi perhatian adalah kepuasan hati rakyat.
Secara dasarnya GLC berperanan membantu negara mewujudkan ekonomi seimbang bagi mengurangkan jurang ekonomi antara kaum, katanya sebagai anggota panel ketiga dalam Forum Pengguna 2012 bertajuk 'Masalah Tidak Pernah Selesai.
Pengguna Merana. Tanggungjawab Siapa? Sampai Bila?' di sini hari ini.
Beliau berkata GLC wajar menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan itu bersungguh-sungguh selaras dengan dasar kerajaan menerusi prinsip asas yang termaktub dalam Program Transformasi GLC.
Nadzim berkata sehingga kini pihaknya telah menerima lebih 100 aduan daripada pengguna berhubung kelemahan pentadbiran GLC terutamanya dari segi karenah birokrasi.
Sehubungan itu beliau meminta kerajaan untuk campur tangan dalam masalah tersebut bagi menambah baik peranan dan tugas GLC supaya mampu memberikan manfaat terbaik kepada rakyat.
"Kalau boleh juga kita mahu pemimpin-pemimpin negara menilai semula KPI GLC supaya mereka (GLC) tidak menumpukan keuntungan semata-mata. Contohnya KPI boleh diukur berdasarkan menentukan kejayaan usahawan yang dibantu iaitu misalnya sebuah GLC perlu menolong 50 usahawan," katanya.

Nadzim berkata kini pihaknya dalam proses untuk menghantar satu resolusi kepada kementerian berkaitan berhubung soal peranan yang sewajarnya dimainkan oleh GLC.
Pengarah Latihan PPIM Dr Idzham Nayan bertindak sebagai moderator dalam forum itu manakala Pensyarah Ekonomi dan Kewangan Universiti Multimedia (MMU) Abdul Halim Abd Hamid sebagai panel kedua.
Sementara itu, panel pertama iaitu Pengerusi Lembaga Penasihat PPIM Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata kini terdapat sebanyak 462 GLC di seluruh negara, dan mereka memainkan peranan penting untuk  menyemarakkan ekonomi bumiputera menerusi bantuan suntikan dana yang disalurkan oleh kerajaan kepada syarikat itu.
Beliau berharap GLC dapat menjalankan tugas sebaik mungkin seiring dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi bumiputera di negara ini.- Bernama

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

About

Blogroll